Sunday, May 19, 2013

Anuar Zain & Dayang Nurfaizah Teruja Disatukan

Dua penyanyi popular , Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah mengakui mereka berasa cukup seronok dan teruja apabila dipertemukan sekali lagi. Apa tidaknya, masing-masing saling meminati. Malah, pasangan ini pernah dikhabarkan menjalin hubungan cinta. Namun, kisah cinta mereka ini lenyap begitu sahaja apabila masing-masing menafikan perkara ini.

Mungkin dek kerana jodoh yang panjang, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah terus dipertemukan. Bukan atas urusan peribadi, tetapi atas urusan kerjaya masing-masing. Kali ini, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah muncul dengan sebuah album istimewa berjudul Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas.  Album ini dirakamkan ketika kedua-dua penyanyi ini mengadakan konsert amal di Dewan Filharmonik Petronas  (DFP) tahun lalu.

Bercakap kepada pihak media baru-baru ini, Anuar memberitahu dia cukup teruja dengan projek terbarunya itu. Jelas lelaki ini, dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan album bersama Dayang.

“Saya sudah lama berkerjasama dengan Dayang. Kami mula buat persembahan bersama-sama sejak tahun 2003 lagi. Album ini adalah kenang-kenangan untuk saya dan Dayang kerana kami memang sudah lama menyimpan angan-angan untuk menghasilkan album duet. Biarpun lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini bukanlah lagu-lagu baru, tetapi saya yakin peminat yang tidak menonton persembahan kami tahun lalu pasti mahu memiliki album ini. Tak sabar rasanya hendak tahu komen-komen peminat,” ulas Anuar dalam nada teruja.

Dalam masa yang sama, Anuar juga memberitahu kesemua lagu yang dimuatkan adalah pilihannya bersama Dayang.

“Semua lagu yang dimuatkan adalah pilihan saya dan Dayang sendiri. Kami pilih lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat. Memang bukan semua lagu merupakan lagu duet, tetapi peminat boleh mendengar saya berduet dengan Dayang menerusi empat buah lagu,” ujar Anuar lagi.

Sementara itu, Dayang yang turut hadir ketika majlis pelancaran album ini memberitahu dia berasa cukup gembira kerana dapat menghasilkan album bersama Anuar Zain. Baginya, peluang yang diperolehinya cukup berharga kerana bukan mudah untuk menghasilkan album ketika ini.

“Sama macam Anuar,  saya juga sudah lama berhajat untuk merakamkan album bersama-sama. Namun, peluang itu tidak kunjung tiba kerana bukan mudah untuk menghasilkan sebuah album. Lebih-lebih lagi waktu dahulu kami berada di bawah pengurusan berbeza. Apabila dimaklumkan persembahan kami  akan dirakamkan untuk buat album, saya berasa cukup gembira. Harap-harap album ini akan dapat sambutan di kalangan peminat,” ujar Dayang.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Anuar & Dayang At Dewan Filharmonik Petronas ini ialah Bila Resah (Anuar & Dayang), Mana Mungkin (Anuar & Dayang), Seandainya Masih Ada Cinta(Dayang), Kau Bunga Cintaku (Anuar), Perpisahan (Anuar) dan Sedetik Lebih (Anuar & Dayang).

-Dikongsi Dari : www.gua.com.my

Siti Nurhaliza Tak Rasa Hilang Nilai Eksklusif

Akhir-akhir ini, penyanyi nombor satu negara dilihat kerap muncul di khalayak ramai terutamanya bagi mempromosikan produknya, Simplysiti. Selain daripada turun padang bagi sesi berjumpa peminat di beberapa buah lokasi di seluruh negara, Siti juga sibuk menghadiri pelbagai acara berkaitan kerjayanya seperti pelancaran muzik video 'Galau' serta rakaman program raya di RTM.

Tidak seperti sesetengah selebriti yang membataskan kemunculan mereka, Siti positif dengan usaha yang dilakukannya. “Saya melihat dari sudut perniagaan. Saya tak rasa bila selalu jumpa peminat nilai eksklusif itu akan hilang. Sebaliknya, ia akan membuat mereka semakin dekat dengan saya. Saya rasa ia tak sedikit pun mengganggu populariti seseorang artis.


Apabila kita selalu turun padang jumpa mereka, peminat lagi seronok sebab dapat jumpa kita sendiri,” ujar Siti yang percaya kerja keras merupakan antara kunci kejayaan. Menurut pelantun lagu ‘Cindai’ ini, kesempatan ini diambilnya berikutan keadaan kesihatan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K yang semakin beransur pulih. “Lagipun penglibatan saya dalam sesi promosi ini bukan sahaja untuk bertemu dengan mereka yang selama ini dah banyak menyokong kerjaya seni saya. Tetapi saya juga bertugas sebagai ‘salesgirl’.

Saya dapat kongsi tip kecantikan, tip solekan dan cerita sendiri keistimewaan produk SimplySiti. Kali ini kami banyak ke lokasi yang tak pernah dikunjungi sebelum ini dan ini merupakan peluang terbaik untuk kita dapatkan maklumbalas dari peminat dan pengguna Simplysiti di sana,” jelas pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Taruddin ini. Menurut Siti, sambutan yang diberikan pengunjung di setiap lokasi promosi amat menggalakkan sehinggakan ada lokasi seperti Watson’s terpaksa ditutup gara-gara tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang terlalu ramai.

Bagi Siti ia adalah petanda baik produknya mula mendapat tempat di hati pengguna kosmetik tanah air. Dek sibuk dengan pelbagai aktiviti melibatkan promosi SimplySiti dan kerjaya seninya, hasrat awalnya untuk mengambil cuti panjang terpaksa ditangguhkan. Namun begitu, Siti merancang untuk melancong di dalam negara tidak lama lagi.

Mengulas mengenai keadaan kesihatan suaminya, Siti memberitahu dia bersyukur ke hadrat Illahi atas perkembangan kesihatan Datuk K yang semakin baik. “Alhamdulillah. Saya gembira melihat keadaan suami yang semakin sihat dan pulih dari kecederaan. Saya rindu nak bersenam dan ‘kickboxing’ bersamanya. Syukur, semangat Datuk K ini kuat dan apabila perkara berkaitan kesihatan ini, di cukup berdisiplin.

Makan pun dia dah boleh suap sendiri. Kalau dulu, bila saya suap dia sekali, dia suruh saya makan juga. Sudahnya, saya makan dua suap. Itu yang badan makin sihat,” seloroh Siti.

-Dikongsi Dari : www.gua.com.my

DJ sekarang mesti lebih bagus

MENGABADIKAN kenangan di salah satu mercu tanda terkenal Tower Bridge di London, United Kingdom yang dilawatinya tidak lama dulu. OMAR Osman atau lebih dikenali sebagai OO merupakan salah seorang disc jockey (DJ) atau penyampai radio yang pernah dilahirkan di stesen radio RTM sejak awal tahun 1970-an hingga 2006.

Biarpun sudah tidak ke udara lagi menerusi radio sejak tujuh tahun lalu tetapi bekas penyampai Radio 1 RTM ini masih mencurahkan keringatnya di stesen penyiaran milik kerajaan tersebut. Cuma OO yang berasal dari Kampung Alai, Melaka itu kini lebih banyak berkongsi pengalamannya kepada para penyampai radio baru yang akan diketengahkan pada masa depan.


Bekas DJ radio berusia 59 tahun ini antaranya menjadi salah seorang tenaga pengajar di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Menurut OO sepanjang menjadi DJ dan tutor di IPPTAR dia dapat melihat perbezaan yang cukup ketara antara penyampai radio sewaktu zamannya dengan yang ada pada hari ini. Katanya dengan kelebihan pelbagai teknologi canggih seperti Internet yang ada para DJ radio sekarang sepatutnya lebih bagus daripada DJ radio yang seangkatan dengannya empat dekad lalu.

"Sekarang ini banyak kemudahan berada di hujung jari, cuma tekan sahaja maka macam-macam maklumat akan keluar bagi membantu seseorang DJ radio ke udara di radio. "Kalau zaman saya dulu belum ada internet saya terpaksa menggunakan surat khabar sebagai salah satu bahan untuk membantu saya menyalurkan maklumat kepada pendengar. "Contohnya dulu setiap hari pada pukul 5 pagi saya akan mendapatkan akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia dan Utusan Melayu sebagai bahan rujukan dalam bentuk berita dan isu untuk diketengahkan menerusi radio.

 "Tetapi sekarang sudah ada macam-macam sumber maklumat dan kemudahan yang sepatutnya menjadikan seseorang DJ itu lebih berinformatif," katanya kepada Hits di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bukan setakat mendapatkan maklumat dan bahan-bahan siaran di radio, malah bapa kepada lima anak ini juga pernah mengharungi pelbagai rintangan sewaktu bersiaran secara langsung.

Antaranya soal kemudahan teknologi penyiaran yang agak terhad pada zaman awal kerjayanya sebagai DJ radio terutama sewaktu membuat liputan di kawasan pedalaman dan luar negara. "Saya pernah membuat liputan sehingga di Moscow, Rusia yang mana saya bukan sahaja menyalurkan bahan siaran untuk radio RTM tetapi juga televisyen TV1 pada awal tahun 1980-an. "Masalah seperti talian telefon yang kurang lancar antara yang terpaksa saya hadapi sewaktu bertugas di luar negara menyebabkan adakalanya siaran tergendala dan sebagainya," ujarnya.

 -Dikongsi Dari : www.utusan.com.my

Masih perlu belajar

DALAM diam, sebenarnya sudah hampir tiga tahun kelibat pelakon berdarah kacukan, Cristina Suzanne Stockstill berada dalam industri seni.Namun, namanya seakan tidak begitu dikenali oleh para pengikut industri seni.

Pernah bergelar sebagai seorang pramugari sebelum menyertai sebuah rancangan realiti terbitan RTM, Pilih Kasih, kerjaya Cristina dilihat agak mendatar berbanding dengan pelakon lain yang punya darah kacukan sepertinya.


Pelakon berdarah kacukan dilihat sangat mudah untuk diterima dalam bidang seni kerana rupa paras yang cantik dan glamor menarik perhatian penonton yang melihat.

Tetapi bagi Cristina, dia lebih selesa untuk popular kerana bakat dan bukannya kerana wajah kacukan yang dimilikinya.

Saya tidak kisah kalau saya tidak popular. Asalkan orang menerima saya kerana bakat saya. Orang menilai saya kerana bakat. Saya pun berada dalam industri seni bukan untuk menjual rupa, tetapi yang utama ialah menjual bakat," katanya.

Selain itu, tambah gadis yang berusia 28 tahun itu, dia mengakui ada menolak beberapa tawaran berlakon kerana beberapa faktor yang dilihat antara sebab kerjaya seninya bergerak dengan perlahan.

“Saya akui, ada menerima tawaran berlakon dalam masa yang sama menolak beberapa tawaran. Tetapi saya tidak kisah, saya tahu apa yang saya buat dan saya yakin dengan keputusan saya untuk menolak beberapa pelawaan drama.

“Kalau nak diikutkan, selepas drama bersiri Bicara Hati yang disiarkan tahun lalu, banyak tawaran berlakon yang saya terima tetapi semuanya watak yang sama.

Sebagai seorang pelakon, saya sangat selektif terutamanya untuk memilih tawaran berlakon kerana saya tidak mahu membawa watak yang saya. Setiap orang perlukan kepuasan ketika bekerja, begitu juga saya.

“Kalau asyik membawa watak yang sama, saya sendiri akan bosan dan menyebabkan saya tidak puas. Jadi, lebih baik saya tunggu watak yang lebih mencabar diri saya untuk membuktikan bakat lakonan saya," jelasnya.

Mengulas lebih lanjut tentang kerjaya seninya, jelas Cristina, dia tidak kisah sekiranya ada yang menganggap dia tidak popular atau punyai kerjaya seni yang perlahan.

Saya memang tidak kisah kalau orang tidak kenal saya atau sebagainya sebagai seorang pelakon. Apa yang penting ialah orang mengenali saya melalui watak-watak yang saya lakonkan.

“Buat apa hendak popular dengan wajah kacukan yang ada tetapi hakikatnya berlakon macam kayu. Saya tidak mahu digelar seperti itu. Biarlah orang melihat saya dengan bakat dan bukan kerana kisah-kisah kontroversi atau sebagainya," ujarnya.

Tidak pernah mendalami ilmu lakonan secara khusus selain daripada rancangan realiti yang disertainya, jelas Cristina, dia kini cuba untuk meningkatkan lagi ilmu lakonan menerusi pementasan teater pula.
“Berlakon atas pentas dan depan kamera tidak sama. Berlakon teater sebenarnya lebih mencabar kerana kita lakonkan watak itu secara langsung. Kalau depan kamera, kita boleh ulang banyak kali sekiranya ada silap.
“Sebab itu melalui pementasan teater, banyak yang saya perolehi terutamanya ilmu sebagai seorang pemegang watak dalam sesebuah cerita.

Lagipun, kebanyakan pelakon yang belajar ilmu lakonan banyak terlibat dengan aktiviti teater.
“Daripada situ, saya berlajar dengan mereka tentang ilmu-ilmu lakonan dan mereka banyak membantu saya sebagai seorang yang baru mula berkecimpung ini," katanya yang berlakon teater berjudul Ramlee Festasi.
Umur bukan halangan

Mencecah usia 28 tahun, pastinya ramai yang beranggapan ia sudah terlalu tua untuk menyambung pelajaran terutamanya jika mereka hanya mempunyai kelulusan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Namun, bagi Cristina, dia mempunyai sebab mengapa dia memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan grafik hujung tahun ini.

Saya buat keputusan itu bukan kerana suka-suka atau sebagainya, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pelan jangka masa panjang saya.

Kita pun tahu rezeki sebagai seorang pelakon ini tidak menentu, ada ketika kita akan berada di puncak dan ada ketika kita akan jatuh. Sekurang-kurangnya, bila saya jatuh, sudah ada persediaan yang akan saya lakukan.
“Lagipun sekarang ini banyak pelakon baharu yang berbakat, jadi pelan untuk masa hadapan perlu dirancang," jelasnya.

Tambah gadis ini lagi, dia juga berhasrat untuk membuka perniagaan berdasarkan kepada seni rekaan grafik tetapi itu masih lagi di dalam perancangan.
“Saya merancang untuk membuka kedai percetakan barang hiasan seperti baju dan mug tetapi itu semua masih lagi dalam perancangan. Mungkin selepas tamat belajar nanti saya akan fikir secara serius untuk membuka perniagaan," ujarnya.

Ditanya sama ada dia mahu meninggalkan dunia lakonan untuk menumpukan pada pelajarannya, jelas Cristina, dia belum bersedia lagi untuk meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya.
“Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya. Tetapi saya akan cuba seimbangkan lakonan dan pelajaran saya. Itu memerlukan saya untuk mengagihkan masa dengan baik," jelasnya.


-Dikongsi Dari : www.utusan.com.my

Konsert 'Apo Kono Eh Jang' dibanjiri peminat

SEREMBAN 19 Mei - Lebih 5,000 penonton terhibur dengan persembahan artis-artis terkemuka negara di konsert 'Apo Kono Eh Jang' di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini malam tadi.

Persembahan yang bermula kira-kira pukul 8.45 malam itu dianjurkan oleh Kumpulan Utusan selain mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran dan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai penaja utamanya.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Utusan Melayu (M) Berhad, Nik Anura Nik Abdul Rahman memberitahu, konsert ini merupakan satu daripada program bersempena perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-42 yang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Tertutup Nilai, Khamis lalu.

"Program ini juga merupakan acara kemuncak bagi pengunjung di Seremban bagi memeriahkan suasana Festival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi dekat sini selain menghargai sumbangan guru kepada negara.

"Malah sambutan orang ramai terhadap konsert ini cukup memberangsangkan dan kami melihatnya sebagai sesuatu yang cukup positif," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Ditanya mengenai pemilihan nama tema konsert 'Apo Kono Eh Jang', Nik Anura menjelaskan ia bertepatan dengan dialek selain identiti masyarakat Negeri Sembilan apatah lagi ia diadakan di bumi Adat Perpatih.

"Ini cukup unik dan sebab itulah kami memilih nama Apo Kono Eh Jang. Bagi kami ini adalah satu cara bagi menarik orang ramai untuk sama-sama hadir ke konsert ini," katanya.

Antara artis-artis yang membuat persembahan ialah Datuk A.C Mizal; Ella; Azlan & The Typewriter; Waris, DJ Fuzz dan Ani Mayuni manakala Didie Alias pula bertindak sebagai pengacara pada konsert berkenaan.

-Dikongsi Dari : www.utusan.com.my