Sunday, May 19, 2013

DJ sekarang mesti lebih bagus

MENGABADIKAN kenangan di salah satu mercu tanda terkenal Tower Bridge di London, United Kingdom yang dilawatinya tidak lama dulu. OMAR Osman atau lebih dikenali sebagai OO merupakan salah seorang disc jockey (DJ) atau penyampai radio yang pernah dilahirkan di stesen radio RTM sejak awal tahun 1970-an hingga 2006.

Biarpun sudah tidak ke udara lagi menerusi radio sejak tujuh tahun lalu tetapi bekas penyampai Radio 1 RTM ini masih mencurahkan keringatnya di stesen penyiaran milik kerajaan tersebut. Cuma OO yang berasal dari Kampung Alai, Melaka itu kini lebih banyak berkongsi pengalamannya kepada para penyampai radio baru yang akan diketengahkan pada masa depan.


Bekas DJ radio berusia 59 tahun ini antaranya menjadi salah seorang tenaga pengajar di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Menurut OO sepanjang menjadi DJ dan tutor di IPPTAR dia dapat melihat perbezaan yang cukup ketara antara penyampai radio sewaktu zamannya dengan yang ada pada hari ini. Katanya dengan kelebihan pelbagai teknologi canggih seperti Internet yang ada para DJ radio sekarang sepatutnya lebih bagus daripada DJ radio yang seangkatan dengannya empat dekad lalu.

"Sekarang ini banyak kemudahan berada di hujung jari, cuma tekan sahaja maka macam-macam maklumat akan keluar bagi membantu seseorang DJ radio ke udara di radio. "Kalau zaman saya dulu belum ada internet saya terpaksa menggunakan surat khabar sebagai salah satu bahan untuk membantu saya menyalurkan maklumat kepada pendengar. "Contohnya dulu setiap hari pada pukul 5 pagi saya akan mendapatkan akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia dan Utusan Melayu sebagai bahan rujukan dalam bentuk berita dan isu untuk diketengahkan menerusi radio.

 "Tetapi sekarang sudah ada macam-macam sumber maklumat dan kemudahan yang sepatutnya menjadikan seseorang DJ itu lebih berinformatif," katanya kepada Hits di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bukan setakat mendapatkan maklumat dan bahan-bahan siaran di radio, malah bapa kepada lima anak ini juga pernah mengharungi pelbagai rintangan sewaktu bersiaran secara langsung.

Antaranya soal kemudahan teknologi penyiaran yang agak terhad pada zaman awal kerjayanya sebagai DJ radio terutama sewaktu membuat liputan di kawasan pedalaman dan luar negara. "Saya pernah membuat liputan sehingga di Moscow, Rusia yang mana saya bukan sahaja menyalurkan bahan siaran untuk radio RTM tetapi juga televisyen TV1 pada awal tahun 1980-an. "Masalah seperti talian telefon yang kurang lancar antara yang terpaksa saya hadapi sewaktu bertugas di luar negara menyebabkan adakalanya siaran tergendala dan sebagainya," ujarnya.

 -Dikongsi Dari : www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment